Welcome To My Blogs

Sunday 3 April 2011

Tugasan Kumpulan

AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN UNTUK
KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Pengenalan
Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat merupakan golongan yang dikategorikan mempunyai keperluan pembelajaran yang khusus, juga mempunyai kelebihan intelek yang luar biasa berbanding rakan sebaya mereka. Oleh yang demikian, kelebihan yang  dikurniakan kepada golongan ini perlu dimanfaatkan agar mereka dapat memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat dan negara. Mereka merupakan salah satu aset negara yang berharga dan perlu diberi perhatian sewajarnya kerana mereka merupakan individu yang akan menerajui ilmu sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.
Dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat, guru perlu memainkan peranan yang penting dalam menentukan  kaedah dan strategi pengajaran yang efektif untuk memaksimakan pencapaian  kanak-kanak mereka. Terdapat pelbagai kaedah yang dapat digunakan antaranya kaedah pecutan, pengayaan, pengelompokan dan pembelajaran koperatif.  Oleh itu, setiap pendidik memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam menyampaikan sesuatu isi pelajaran kepada anak didiknya melalui strategi yang berkesan. Tahap kecerdasan pelajar amat berperanan dalam menentukan keberhasilan pembelajaran seseorang itu.
 Di dalam kelas mungkin terdapat satu atau dua orang pelajar yang tergolong dalam kategori pelajar pintar atau pintar cerdas dan ada juga golongan pelajar yang tergolong dalam kategori sederhana dan lemah. Dalam keadaan begini, pelajar yang cerdas akan merasa mereka tidak diberi perhatian yang sewajarnya kerana guru mengajar pelajaran yang senang bagi mereka. Manakala pelajar lemah pula akan merasa tertekan kerana sukar memahami apa yang diajar. Akibatnya, kedua-dua golongan ini akan merasa bosan. Guru perlu peka dalam menangani masalah pelajar seperti ini sama ada berusaha memberi pengayaan kepada pelajar pintar cerdas atau pemulihan kepada pelajar lemah.

Ciri dan Keperluan Kanak-Kanak Pintar
Sally (2007) menyenaraikan tiga kaedah mengajar pelajar-pelajar pintar iaitu yang pertama menyediakan bahan-bahan kandungan pengajaran yang sesuai dan memberi tugasan yang mencabar, yang kedua memulakan unit pelajaran dengan memilih konsep dalam kurikulum atau disiplin teras, mengenal pasti satu atau lebih generalisasi yang sesuai dan mereka bentuk tingkat pelajaran yang berkaitan dengan generalisasi tersebut. Tingkat pelajaran adalah strategi pelajaran di mana guru-guru mentaksir tahap kesediaan minat, pengetahuan sedia ada dan tahap kemahiran pelajar-pelajar dan mengumpulkan mereka mengikut pengajaran dan penghasilan yang sewajarnya.Keperluan yang ketiga pula ialah, bagi pelajaran atau unit yang diberi, guru boleh merancang dari tiga hingga enam latihan yang berlainan yang memfokuskan kepada konsep dan generalisasi yang sama tetapi menggunakan bahan-bahan dan aktiviti-aktiviti pelajaran yang aras kesukaran yang meningkat dan semakin kompleks.
Disebabkan tahap kesediaan pelajar akan berbeza bagi setiap topik, kumpulan pelajar dalam kelas akan berbeza bergantung pada perubahan kurikulum. Tingkat pelajaran menyesuaikan semua pelajar dengan tahap kesediaan individu dan tahap kandungan, dan menyediakan peluang kepada pelajar untuk mencabar diri mereka sendiri. Kanak-kanak pintar cerdas memerlukan pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk pengayaan, pecutan atau lebih terkehadapan berbanding pelajar biasa. Guru kelas perlu mengetahui apakah keupayaan pelajar pintar cerdas mengenalpasti bentuk kecerdasannya berdasarkan kepintarannya.
 Tugasan seperti salin-menyalin, menghafal fakta dan latih tubi tidak akan dapat memenuhi keperluan pelajar pintar cerdas sebaliknya ia hanya akan melatih kemahiran motor halus mereka sahaja. Mereka memerlukan cabaran dari segi kualiti bukannya kuantiti.Kenal pasti keupayaan kecerdasan pelajar sama ada dari segi  akademik, seni ataupun kecerdasan dari segi lapangan lain seperti  pengubahsuaian dari segi isi kandungan pelajaran, kemahiran dan hasil pembelajaran yang diharapkan. Ini semua sukar untuk didapati dalam konteks bilik darjah aliran perdana yang mana tidak semua kanak-kanak mempunyai keupayaan untuk belajar secara pantas dan memahami konsep-konsep yang kompleks. Kanak-kanak yang lebih pintar perlu diberikan peluang untuk mendapat kurikulum yang lebih laju mengikut tahap keupayaan mereka berbanding rakan-rakan yang kurang pintar. Pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas perlu mengandungi aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar dan lebih ke hadapan.

Kaedah Pembelajaran Untuk Kanak-Kanak Pintar Cerdas
i)             Jenis Kaedah Pecutan
Kaedah pecutan melibatkan  kanak-kanak pintar cerdas akedemik akan belajar dengan lebih banyak dan kehadapan  melalui sistem sekolah daripada pelajar lain. Ini bermakna kurikulum penyesuaian (adapting curriculum) kepada  kanak-kanak dinilai daripada penguasaan dan bukannya menggunakan kurikulum yang seragam yang digunakan oleh semua  kanak-kanak di peringkat yang sama. Ini bermaksud,  kanak-kanak yang menguasai tahap  mata pelajaran yang lebih tinggi akan menerima kredit akademik berdasarkan tahap penguasaan mereka dan bukannya pencapaian dalam kurikulum tahap darjah atau tingkatan di sekolah.
Kaedah ini dapat dicapai dalam beberapa langkah yang berbeza merangkumi  mula bersekolah fasa awal umur dan kelas lompat (grade skipping atau double promotion). Seterusnya ialah kelas tidak bergred di mana kanak-kanak pelbagai umur dikumpulkan bersama dan kurikulum yang digunakan adalah berdasarkan penguasaan individu dan bukan diambil kira berdasarkan umur kanak-kanak. Selain itu,  cara menyesuaikan kurikulum di mana bahan atau topik yang telah dikuasai kanak-kanak dilangkau dan diteruskan dengan bahan atau topik yang lain.
 Grade telescoping pula memerlukan kanak-kanak menyelesaikan sesuatu program  dalam masa yang singkat yang sepatutnya memerlukan masa beberapa tahun.Pecutan subjek (acceleration subject) pula menawarkan kanak-kanak yang menguasai sesuatu subjek tertentu. Dalam subjek lain, mereka akan ditempatkan sama dengan rakan sekelas mereka. Perubahan dalam sukatan pelajaran membolehkan pelajar pintar cerdas ini menyiapkan program pendidikan biasa dalam masa yang singkat. Namun, kaedah ini memerlukan pendidikan lanjutan yang baik agar kanak-kanak pintar ini dapat mengisi masa dengan produktif.

Kesan Kaedah Pecutan Terhadap Akademik
Banyak keterangan yang menyatakan bahawa manfaat terhadap akademik daripada kaedah pecutan.  Kemampuan pengelompokan dengan sendirinya telah dijumpai untuk menghasilkan manfaat  yang terhad  bagi  kanak-kanak berbakat kecuali disertai dengan kurikulum yang diperkaya atau dipercepat. Karen Rogers pada tahun 1991 dan Kulik pada tahun 1992 mendapati bahawa manfaat dari kaedah pecutan bagi kanak-kanak tersebut secara  keseluruhannya lebih besar daripada pengayaan apabila kanak-kanak berkebolehan diletakkan dalam kumpulan dan diberikan kurikulum standard, mereka mengungguli kawalan bersamaan dengan satu bulan, dengan arahan yang diubahsuai mereka mengungguli rakan-rakan mereka tiga atau lebih bulan, ketika mereka yang ditawarkan kurikulum yang diperkaya mereka  melebihi rakan sebaya di  kelas campuran empat hingga lima bulan dan ketika mereka menawarkan kurikulum yang dipercepat  (pecutan), meraka mengungguli rakan-rakan mereka hampir setahun.
Kaedah Pengayaan Kementerian Pendidikan Malaysia (1988)  mendefinisikan program pengayaan sebagai aktiviti asas pembelajaran yang mengandungi unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari. Kaedah ini juga merupakan satu kaedah yang baik bagi memenuhi keperluan murid pintar cerdas ini dan didasarkan mengikut kemampuan dan kekuatan mental seseorang pelajar itu. Ia memberi peluang murid mendalami dan meluaskan pengetahuan dan pengalaman mereka dalam sesuatu tajuk yang diberi. Melalui aktiviti ini, pelajar akan mendapat peluang tambahan untuk mengembangkan lagi minat, sifat ingin tahu dan kebolehan yang ada pada diri mereka.Renzulli (1997) berpendapat guru sepatutnya melatih pelajar untuk mencari dan menggunakan maklumat dengan memberikan kemahiran dalam kaedah penyelidikan. Antara program yang sering dirujuk ialah program pengayaan Renzulli’s Schoolwide Enrichment Model atau SEM yang sudah dilaksanakan di Maktab Rendah Sains mara (MRSM). Model ini direka bagi menggalakkan pelajar didedahkan kepada pelbagai bidang melalui aktiviti seperti ceramah, lawatan, pembacaan, penerokaan melalui internet dan aktiviti lain. Pengalaman yang dikutip mampu membantu pelajar untuk mengenalpasti bidang dan minat bagi menjalankan penyelidikan dan guru bertindak sebagai mentor.
SEM ini bermula dari Aktiviti Jenis I, Jenis II dan Jenis III. Aktiviti Jenis I mendedahkan pelajar kepada dunia luar dan pelajaran yang tidak diajar di dalam kelas formal. Pengalaman dan penemuan yang diperolehi dapat membantu pelajar mengenalpasti minat dan bidang untuk diteroka dan diselidik seterusnya. Aktiviti Jenis II bertujuan untuk memberikan pelajar kemahiran-kemahiran asas bagi mengembangkan minat mereka. Antara kemahiran yang diberikan ialah Kursus Kemahiran Berfikir yang memberikan pendedahan dan latihan kepada pelajar untuk berfikir secara meluas, kreatif, analisis, inovatif, kritis dan bentuk pemikiran yang lain lagi. Aktiviti Jenis III pula merupakan gerak kerja pelajar sama ada menjalankan penyelidikan, mereka cipta atau aktiviti-aktiviti yang mencabar kepada mereka. Guru haruslah sentiasa mengawal perjalanan kumpulan masing-masing.
Terdapat dua bentuk pengayaan iaitu pengayaan yang mendalam dan pengayaan yang meluas. Pengayaan yang mendalam bermaksud membuka peluang untuk pelajar belajar dengan lebih mendalam berkaitan bidang yang menjadi sebahagian kurikulum biasa di sekolah. Manakala pengayaan yang meluas ialah para pelajar akan dibimbing untuk mempelajari sesuatu bidang yang di luar daripada aktiviti kurikulum biasa iaitu bidang yang tidak ada di dalam silibus pelajaran mereka. Kaedah pengayaan adalah kaedah pendekatan pendidikan yang didasarkan mengikut kemampuan dan kekuatan mental seseorang pelajar itu. Ini merupakan satu pendekatan alternatif bagi model pendidikan luar biasa.Pendekatan ini melibatkan tugasan bagi mengetahui sejauh mana kebolehan pelajar dan menggunakan maklumat tersebut sebagai titik tolak dalam mencipta lingkungan belajar.
Implikasi daripada program pengayaan ini antaranya ialah objektif bagi setiap mata pelajaran dapat dicapai di samping menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan bermakna. Kaedah ini juga dapat mengelakkan pelajar dari kebosanan. Penguasaan ilmu yang lebih luas juga turut berlaku kerana pelbagai maklumat dapat disampaikan.Bagi memantapkan program pengayaan, guru boleh menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar menerusi aktiviti seperti slot ceramah dan tazkirah supaya pelajar mempunyai nilai semangat kewarganegaraan yang berlandaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Selain itu, semua pihak perlu melibatkan diri dalam membangunkan sistem pengurusan kolaborasi  di antara ibu bapa, guru, pihak sekolah dan pelajar.
Ini penting supaya semua pihak merasa bahawa diri mereka dihargai selain dapat membantu merancang aktiviti yang bersesuaian.4.1 Konsep dan Aktiviti PengayaanKaedah ini merujuk kepada penyediaan pengalaman belajar yang berbeza oleh guru dalam kelas. Konsep pengayaan ialah satu proses di mana aktiviti-aktiviti tambahan yang mempunyai aras kesukaran yang lebih tinggi daripada aras aktiviti-aktiviti pembelajaran yang dijalankan di dalam bilik darjah. Hal ini bertujuan dalam memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang sedia ada pada  kanak-kanak, meluaskan pengetahuan dan pengalaman mereka, memberi ruang untuk mengembangkan lagi daya kreatif, minat, sifat ingin tahu, sikap berdikari dan bakat kepimpinan murid-murid dalam pelbagai bidang serta memperkembangkan potensi murid kepada tahap yang paling maksimum.Aktiviti pengayaan dijalankan dengan keperluan kognitif kanak-kanak sama ada bercorak belajar kendiri berdasarkan modul dan pembelajaran arah kendiri atau berbentuk lembaran kerja atau projek.
Aktivitinya pula dijalankan secara tidak formal dan tidak dimasukkan dalam jadual waktu tetap sekolah Bimbingan guru adalah pada tahap minima kerana aktiviti pengayaan bercorak belajar kendiri. Hasil aktiviti dibincangkan dengan guru atau rakan sebaya, kemudian guru akan memberi ganjaran supaya murid-murid merasai yang semua usaha mereka dihargai Kaedah pengayaan mengisi  masa kanak-kanak yang belajar lebih cepat dengan menawarkan bahan atau kegiatan yang tidak membolehkan kemajuan cepat melalui kurikulum yang ditetapkan.  Kaedah pengayaan mungkin termasuk  kanak-kanak diperkenalkan ke bidang lain atau aktiviti lain seperti seni, muzik, menulis jurnal, kelab atau kunjungan lapangan atau diberikan tanggungjawab seperti pembantu guru di dalam kelas. Sebagai contoh pengayaan program matematik untuk kanak-kanak berumur lapan tahun. Kanak-kanak tersebut tidak diperkenalkan dengan kurikulum untuk umur yang lebih tinggi tetapi kanak-kanak tersebut diberikan soalan yang lebih kompleks yang memerlukan kemahiran kanak-kanak tersebut. Selain itu, aktiviti pengayaan dapat dijalankan dengan melibatkan aktiviti yang tidak disediakan dalam bilik darjah seperti permainan catur, sudoku dan sebagainya.Kaedah ini mengambil kira bahawa  kanak-kanak yang pintar cerdas adalah cepat dalam menyiapkan latihan, kerja atau aktiviti yang diberikan kepada mereka. Konsep ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan di dalam atau di luar bilik darjah.
Aktiviti ini mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari oleh kanak-kanak. Aktiviti pengayaan juga dapat membuka peluang kepada mereka untuk mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, bakat kepimpinan serta dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri, kumpulan dan juga masyarakat.Tujuan  bagi  kaedah pengayaan adalah untuk membolehkan  kanak-kanak menjalani aktiviti yang lebih mencabar kebolehan mereka serta menambahkan minat dan pengalaman yang dapat membantu mereka ke arah perkembangan diri dan bakat mereka.  Aktiviti ini juga dapat menambahkan  minat  mereka  untuk belajar sendiri dan mempunyai sifat berdikari bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup serta melahirkan daya kreativiti.

ii)            Kaedah Pengelompokan
Pengkelompokan merujuk kepada penempatan  kanak-kanak yang mempunyai kebolehan yang hampir sama dalam suatu kelas yang khusus. Sebuah tinjauan kajian utama daripada kumpulan praktis oleh Karen Rogers pada tahun 1991 mendapati bahawa, pengelompokan  sepenuh masa (tracking) arahan rutin tidak  memberi sebarang perbezaan  dalam kemampuan pencapaian akademik  bagi  pelajar  biasa,  tetapi pengelompokan ini memberi  perbezaan besar dalam pencapaian akademik pelajar yang berbakat. Rogers juga mendapati bahawa kemampuan pengelompokan untuk pengayaan dan bentuk lain dari kemampuan pengelompokan, seperti pengelompokan di dalam kelas juga memberi manfaat kepada pelajar berbakat.Pengelompokan untuk  pecutan menghasilkan manfaat yang besar jika ianya dijalankan dalam kelas tidak bergred, pemadatan kurikulum (curriculum compacting),  grade telescoping (menghabiskan sekolah menengah  lebih awal),  pecutan subjek atau mata pelajaran dan kemasukkan ke peringkat lebih tinggi (kolej atau universiti) pada usia lebih muda.
  Kaedah pecutan tidak memberi kesan langsung terhadap harga diri (self-esteem) mereka. Kaedah pecutan bukan hanya mampu  untuk mendapatkan  keputusan  akademik yang menakjubkan, tetapi juga mampu untuk menyelesaikan masalah lain. Hal ini kerana kanak-kanak yang dikumpulkan bersama akan  lebih dekat antara  rakan-rakan sekelas mereka  yang mempunyai kemampuan, minat dan tahap yang sama.Kajian telah membuktikan keberkesanan kaedah pengelompokan yang membolehkan kanak-kanak yang mempunyai tahap yang sama dan dikumpulkan bersama untuk mendapatkan pembelajaran yang lebih mencabar.
Kaedah pengelompokan merangkumi pengelompokan sepenuh masa, pengelompkan kluster, pengelompkan dalam kelas, pengelompkan silang kelas (cross-class/grade grouping) dan  pull-out grouping.Kajian menunjukkan pencapaian akademik yang signifikan dicapai oleh kanak-kanak pintar cerdas yang menjalankan kaedah pengelompokan dalam kumpulan yang mempunyai minat dan kemampuan yang sama.  Selain itu,  pengelompokan juga mempunyai kesan positif terhadap motivasi dan sikap terhadap pembelajaran, serta membantu kanak-kanak berbakat untuk mengembangkan persepsi diri yang lebih realistik. Kajian mendapati bahawa jika strategi ini digunakan secara fleksibel, ianya dapat memberi cabaran dalam pembelajaran kanak-kanak dan memberi banyak kesan positif kepada mereka.

iii)           Kaedah Koperatif
Layanan di antara pelajar pintar cerdas dan pelajar biasa tidak boleh kelihatan terlalu ketara agar pelajar pintar  tidak merasa disisihkan oleh guru atau kawan-kawan. Bagi memastikan pelajar pintar cerdas ini tidak diasingkan oleh kawan-kawan, guru boleh menggunakan kaedah pembelajaran koperatif. Pembelajaran koperatif adalah satu strategi pengajaran umum yang boleh dilaksanakan dalam kumpulan belajar yang kecil di mana pelajar berinteraksi sesama sendiri bagi menyelesaikan tugasan untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Ianya melibatkan perkongsian pembelajaran atau dapatan di antara ahli-ahli dalam kumpulannya.Jenis pembelajaran koperatif ada enam jenis iaitu yang pertama kaedah jigsaw.
Setiap ahli kumpulan menyumbangkan sekeping jigsaw dengan berkongsi maklumat yang mereka perolehi. Idea dari aktiviti jigsaw ialah seorang akan menjadi ketua dalam bab tertentu dan seterusnya membantu ahli kumpulan memahaminya. Jenis yang kedua pula ialah belajar bersama iaitu semua ahli kumpulan berusaha keras untuk menyelesaikan tugasan yang diberi. Seterusnya ialah Team Games Tournament yang dicipta oleh Robert Slavin.  Ia berkonsepkan putaran biasa seperti dalam pengajaran, guru menyampaikan pelajaran yang berkaitan dan pelajar cuba untuk menyelesaikan lembaran kerja untuk menguasai konsep. Selepas itu pelajar akan bersaing dalam satu pertandingan yang diwakili oleh pelajar yang berkebolehan akademik yang hampir sama.Jenis pembelajaran koperatif yang keempat ialah Student Team Achievement Division atau dikenali juga sebagai STAD.
Ia diilhamkan oleh Hopkins. Menerusi kaedah ini,guru mengikut satu pusingan mengajar, kumpulan pembelajaran dan juga penilaian secara individu. Seterusnya ialah Team Accelerated Instruction Mathematics iaitu pendekatan secara menyeluruh dalam bidang matematik. Menerusi jenis pembelajaran ini, murid ditentukan berdasarkan kumpulan heterogenius iaitu mereka yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Selain itu, penyiasatan secara berkelompok antara kaedah koperatif yang membolehkan pelajar merancang satu kursus pembelajaran.Pembelajaran koperatif boleh disesuaikan dengan sebarang kumpulan umur dan sebarang matapelajaran. Ianya merupakan satu pendekatan yang baik dan perlu digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat dan bersemangat di kalangan pelajar-pelajar di samping mempertingkatkan lagi mutu prestasi pelajar dalam peperiksaan. Ia sesuai digunakan apabila populasi mempunyai sifat yang hampir seragam. Pembelajaran koperatif memerlukan interaksi dua hala yang baik. Pelajar ditempatkan di dalam kumpulan yang kecil, iaitu seramai empat ke enam orang sahaja dan dikendalikan oleh guru yang telah dilatih dalam bidang pintar cerdas.Jika terdapat lebih dari enam orang pelajar yang cerdas, kumpulan boleh dibesarkan atau dua kumpulan dibentuk. Bagi pemilihan pelajar yang ingin ditempatkan dalam kumpulan koperatif, kriteria yang paling penting ialah pelajar itu harus menunjukkan pencapaian yang melebihi tahap umurnya.
Di dalam amalan pembelajaran koperatif, guru yang cekap dan berwibawa dapat mencorakkan pengajarannya dengan baik. Secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan pelajar, menjadikan pembelajaran menarik dan disukai pelajar, menghidupkan semangat dan sentiasa memberi rangsangan kepada pelajar-pelajarnya untuk berusaha dan bercita-cita tinggi.Secara umumnya guru akan sentiasa mempelbagaikan corak pengajarannya semasa pembelajaran koperatif dilaksanakan yang bertujuan untuk menjadikan sesuatu pembelajaran menarik dan disukai pelajar. Ianya akan menghidupkan semangat dan sentiasa memberi rangsangan kepada pelajar-pelajarnya untuk terus mencapai kejayaan.
Ini bermakna pembelajaran koperatif wajar digunakan sebagai satu strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam pembelajaran bagi meningkatkan pencapaian pelajar. Guru yang ingin melaksanakan strategi pembelajaran jenis ini perlu membuat perancangan pengajaran yang rapi dan teliti supaya waktu pengajaran mencukupi. Selain itu juga, agihan tugas yang sesuai diberikan kepada pelajar supaya pelajar berupaya melibatkan diri secara koperatif dan membentuk suasana persaingan yang sihat.Guru yang melaksanakan kaedah pembelajaran koperatif hendaklah sentiasa berwaspada supaya dapat memastikan bahawa pelajar menerima arahan yang boleh memberikan perkembangan pelajaran yang lengkap, berpeluang untuk berinteraksi secara aktif di antara satu sama lain. Komitmen guru amat dituntut dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, pendedahan kepada guru yang ingin melaksanakan pembelajaran secara koperatif amat perlu sebagai panduannya semasa melaksanakannya.Persekitaran pembelajaran yang selesa dan dilengkapi  dengan pelbagai kemudahan juga perlu disediakan bagi peningkatan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Kini, kaedah pembelajaran tidak hanya berkisar dalam bilik darjah sahaja dengan guru hanya menggunakan buku teks tetapi diperluaskan ke seluruh dunia dengan menggunakan internet dan bahan multimedia semasa sesi P&P sedang berlangsung.
Kaedah pembelajaran koperatif adalah berkesan dalam meningkatkan tahap pemahaman, kemahiran menyelesaikan masalah dan dapat menimbulkan keseronokan untuk belajar di samping mengeratkan perhubungan sosial di antara pelajar dengan guru.Terdapat pelbagai cadangan untuk membantu kanak-kanak pintar cerdas ini. Misalnya dalam pengajaran matematik, pelajar pintar akan lebih berminat untuk mengetahui sejarah atau asal usul sesuatu konsep matematik itu terjadi. Golongan pelajar pintar cerdas sukar untuk mencari jawapan bagaimana wujudnya sesuatu konsep matematik itu walaupun mereka dapat menguasai tajuk itu dengan mudahnya. Di sini, guru harus melakukan perubahan dalam teknik pengajaran agar pembelajaran mudah diterima oleh pelajar pintar cerdas.


PROJEK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAGI
KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

 Pengenalan
Pengajaran dan pembelajaran dalam matematik berbeza dengan mata pelajaran lain. Di samping kemahiran mengira yang melibatkan daya pemikiran dan kreativiti yang tinggi, ianya juga memerlukan kefahaman sesuatu konsep dengan tepat dan menyeluruh (NCTM, 1980; Cockroft, 1986; Nik Azis, 1992; Tg. Zawawi, 1997). Setiap pendidik matematik mestilah bertanggungjawab untuk memiliki dan mengekalkan ketrampilan (competence) dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil kira keperluan dan tahappencapaian para pelajar (NCTM, 1980). 
“Teacher must be sensitive to the needs of their students and dedicated themselves to the improvement of student learning as their primary professional objective”.(NCTM, 1980:25) .
Pengajaran matematik yang berkesan akan melibatkan beberapa kemahiran, antaranya: 
i)          Perancangan mengajar Pelaksanaan pengajaran Penyediaan latihan yang                     berterusan dan pelbagai Pengayaan dan pemulihan Menilai kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran. 
ii)         Pengurusan bilik darjah Penilaian terhadap bahan dan kurikulum matematik.
Dalam projek yang akan kami jalankan ini, kami memilih tajuk Isi padu Cecair bagi murid Tahun 3. Kami memilih tajuk ini kerana kami merasakan aktiviti yang melibatkan kemahiran yang ada di dalam tajuk tersebut boleh dilakukan oleh semua tahap murid sama ada murid cerdas, sederhana mahupun murid yang lambat. Selain daripada itu peralatan yang bersesuaian dengan tajuk ini seperti botol air mineral dan baldi mudah didapati kerana ia boleh didapati di kawasan persekitaran murid. Dalam tajuk isi padu cecair ini kumpulan kami telah memilih kemahiran menyukat dan membanding sebagai kemahiran yang akan kami jalankan dalam projek kami. Aktiviti ini akan dijalankan dalam kumpulan yang berbeza aras kemahiran mereka.
ISIPADU  CECAIR

Isi padu cecair adalah dirujuk kepada jumlah cecair yang boleh memenuhi sesuatu bekas atau dengan erti kata lain isi padu cecair bermaksud banyaknya muatan cecair atau kapasiti cecair di dalam sesuatu bekas tertentu. Bentuk dan saiz sesuatu bekas yang berbeza tidak semestinya mempuyai isi padu yang berbeza dan kadangkala ia mempunyai isipadu yang sama. Murid mudah terkeliru dengan bentuk dan saiz sesuatu bekas yang di lihat semasa membuat perbandingan cecair yang ada di dalam bekas tersebut. Murid sering beranggapan bahawa bekas yang tinggi atau besar mempunyai kapasiti yang lebih besar berbanding dari bekas yang rendah atau kecil. Ini adalah kerana semasa peringkat umur ini, mereka tidak memahami konsep isipadu cecair secara langsung. Untuk menerangkan konsep isi padu ini dengan lebih jelas guru boleh menggunakan beberapa bekas seperti menggunakan cawan, tin minuman, mangkuk dan sebagainya sebagai alat penyukat untuk menyukat cecair di dalam sesuatu bekas. Unit rujukan pula adalah berdasarkan alat penyukat yang digunakan. Cara yang murah dan mudah untuk melakukan aktiviti ini adalah dengan meminta murid mengumpulkan beberapa bekas seperti botol air mineral, tin minuman ringan, dan lain-lain yang boleh didapati di sekitar mereka.Bagi pelajar, untuk mengenalpasti sifat bagi isipadu ialah mengetahui apa yang disukat.Ini penting bagi mencari punca kesukaran bagi kanak-kanak membuat perbandingan isipadu.Bagi membuat perbandingan secara langsung, kanak-kanak perlu didedahkan dengan beberapa jenis pengisi air. Kanak-kanak akan diberi peluang untuk mengisi satu bekas dan menuangkan ke satu bekas yang lain untuk melihat mana yang mengisi lebih atau kurang.Terdapat tiga jenis pelajar di dalam sesebuah kelas, iaitu pelajar yang cerdas, sederhana dan cerdas dari segi pembelajarannya.Guru haruslah memainkan peranan yang sewajarnya dalam proses ataupun sesi pengajaran dan pembelajaran.

BAHAN  BANTU MENGAJAR (BBM)
BBM ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru dan murid untuk membantunya dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Peralatan mengajar bukan terhad kepada buku-buku teks, papan hitam, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran yang melibatkan semua pancaindera melihat, mendengar, rasa,hidu dan sebagainya, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-murid. Menurut Atan Long (1982:174) “ BBM terdiri daripada pelbagai bahan dan sesuatu bahan boleh disampaikan dengan pelbagai cara,misalnya dalam bentuk buku,carta atau dibubuhkan pada slaid dan dipancarkan pada skrin. Dalam projek ini, kami menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati oleh murid seperti gelas, cawan, botol, teko, jag, baldi, besen, air paip, air berwarna dan silinder penyukat ( 1 liter).
Pelaksanaan Aktiviti Projek
Kami menjalankan projek ini terhadap Murid Tahun 3 di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim. Kami memilih sekolah ini memandangkan sekolah ini mempunyai tempat yang sesuai dan kemudahan yang cukup untuk menjalankan aktiviti. Sebelum memulakan aktiviti, kami telah membawa murid di kawasan padang kerana aktiviti ini memerlukan kawasan yang luas. Selain daripada itu aktiviti ini sesuai dijalankan di kawasan padang sekolah kerana ia melibatkan penggunaan air yang boleh mengotorkan tempat mereka belajar jika ia dijalankan di dalam kelas. Kami telah membahagikan murid kepada 3 kumpulan  mengikut aras masing-masing. Setiap kumpulan mengikut aras itu pula kami pecahankan lagi kepada beberapa kumpulan kecil seperti berikut :

Aktiviti untuk pelajar lambat :
Kemahiran: Mengukur dan Membanding Isipadu Cecair
Aktiviti 1:
Menyukat isipadu cecair menggunakan unit-unit bukan piawai. (Permainan mengisi air dalam botol).
Hasil Pembelajaran:
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid-murid dapat mengukur dan membanding isipadu cecair dengan menggunakan unit bukan piawai dengan betul.
Pengetahuan Sedia ada :
Murid-murid telah belajar bagaimana membanding sesuatu objek iaitu lebih atau kurang, banyak atau sedikit, tinggi atau rendah dalam tajuk nombor nombor bulat.

Bahan Bantu Mengajar:
 i.         Botol plastik
 ii.        Sponge
 iii.       Baldi
 iv.       Air yang berwarna ( kuning, merah, hijau dll)

Kosa kata :
lebih, kurang, sama banyak,kosong, separuh dan penuh
Ø

Langkah-langkah :
1. Pelajar dipecahkan kepada 5 kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai 6 orang pelajar.
2. Seorang daripada ahli kumpulan dikehendaki memegang botol yang diberikan kepada setiap kumpulan.
3. Pelajar yang lain daripada setiap kumpulan dikehendaki beratur dari botol dengan jarak 10 langkah.
4. Guru menerangkan cara permainan kepada pelajar.
5. Apabila guru membunyikan wisel atau memulakan permainan. Pelajar dikehendaki mengambil air yang terdapat di dalam baldi untuk dimasukkan ke dalam botol dengan menggunakan span.
6. Masa yang diperuntukan untuk aktiviti ini ialah 5 minit.
7. Setelah masa tamat, murid dikehendaki membuat perbandingan isipadu air yang terdapat di dalam botol.
8. Setelah itu, kumpulan yang memperolihi isipadu air yang paling banyak dikira sebagai pemenang.
9. Jika mendapat permintaan daripada murid bolehlah untuk bermain sekali lagi, dengan menggunakan unit piawai pula.
10. Guru menerangkan apa yang dipelajari oleh murid pada hari ini.




Aktiviti untuk pelajar sederhana

Kemahiran: Mengukur dan Membanding Isipadu Cecair

Aktiviti 2: 
Menyukat isipadu cecair menggunakan unit-unit piawai. (liter)
Hasil Pembelajaran:
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid-murid dapat mengukur dan membanding isipadu cecair dengan menggunakan unit piawai dengan betul.
Pengetahuan Sedia ada :
Murid-murid telah belajar bagaimana membanding sesuatu objek iaitu lebih atau kurang, banyak atau sedikit, tinggi atau rendah dalam tajuk nombor bulat.

Bahan Bantu Mengajar: Botol,gelas,cawan,mug,jug,teko,mangkuk,tin,baldi,gayung dan Silinder penyukat (liter).


Langkah-langkah :
1. Pelajar dipecahkan kepada 10 kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai 3 orang pelajar.
2. Pelajar diminta untuk menyukat isipadu cecair yang terdapat di dalam bahan bantu mengajar dalam unit liter menggunakan silinder penyukat yang disediakan di 10 stesen.
3. Pelajar bergilir-gilir untuk pergi ke setiap stesen yang disediakan.
4. Pelajar dikehendaki mencatatkan jawapan yang diperolihi ke dalam kertas jawapan yang diberikan.
5. Semak jawapan dengan bantuan guru.

Aktiviti Untuk Pelajar Pintar Cerdas :
Tajuk              : Isipadu Cecair
Kelas              : Tahun 3
Sekolah         : SK Tanjong Malim
Langkah 1:
*      Guru membahagikan murid kepada 3 kumpulan yang mengandungi 3 orang murid dalam satu kumpulan.
*      Guru menyediakan beberapa buah bekas yang mempunyai isipadu 10 liter, 13 liter ,16 liter, 19 liter dan 7 liter.
*      Guru juga menyediakan 2 buah bekas kecil yang berukuran 2 liter dan 3 liter.
Aktiviti 1        : Dapatan hasil aktiviti kumpulan 1
                      i.        Guru mengarahkan kumpulan 1 menjalankan aktiviti untuk memenuhkan isipadu air ke dalam bekas yang berukuran 10 liter dengan menggunakan 2 bekas kecil berukuran 2 dan 3 liter.
                    ii.        Pelajar berbincang sesama sendiri bagaimana untuk menjalankan aktiviti ini tanpa membuang masa.
                   iii.        Pelajar kumpulan ini telah mengambil pendekatan dengan mengisi air ke dalam bekas berukuran 3 liter sebanyak 3 kali dan dituangkan ke dalam bekas besar yang berukuran 10 liter tersebut.
                   iv.        Pelajar mengetahui bekas tersebut telah dipenuhi isipadu air 9 liter. Oleh itu pelajar hanya perlu untuk mengisi air sebanyak 1 liter ke dalam bekas tersebut untuk menjadikannya 10 liter.
                    v.        Kumpulan ini telah mengisikan air ke dalam bekas yang berukuran 3 liter dan menuangkannya ke dalam bekas 2 liter. Justeru itu isipadu air yang tinggal di dalam bekas 3 liter ialah 1 liter. Maka air yang tinggal 1 liter tersebut di masukkan ke dalam bekas besar 10 liter yang telah dipenuhi dengan air  9 liter.
                   vi.        Pertambahan air sebanyak 1 liter menjadikan bekas besar tersebut dipenuhi dengan isipadu 10 liter.

Aktiviti 2        : Dapatan hasil aktiviti kumpulan 2
                      i.        Guru mengarahkan kumpulan 2 menjalankan aktiviti untuk memenuhkan isipadu air ke dalam bekas yang berukuran 7 liter dengan menggunakan 2 bekas kecil berukuran 2 dan 3 liter.
                    ii.        Pelajar berbincang sesama sendiri bagaimana untuk menjalankan aktiviti ini tanpa membuang masa.
                   iii.        Pelajar kumpulan ini telah mengambil pendekatan dengan mengisi air ke dalam bekas berukuran 3 liter sebanyak 2 kali dan dituangkan ke dalam bekas besar yang berukuran 7 liter tersebut.
                   iv.        Pelajar mengetahui bekas tersebut telah dipenuhi isipadu air 6 liter. Oleh itu pelajar hanya perlu untuk mengisi air sebanyak 1 liter lagi ke dalam bekas tersebut untuk menjadikannya 7 liter.
                    v.        Kumpulan ini telah mengisikan air ke dalam bekas yang berukuran 3 liter dan menuangkannya ke dalam bekas 2 liter. Justeru itu isipadu air yang tinggal di dalam bekas 3 liter ialah 1 liter. Maka air yang tinggal 1 liter tersebut di masukkan ke dalam bekas besar 7 liter yang telah dipenuhi dengan air  6 liter.
                   vi.        Pertambahan air sebanyak 1 liter menjadikan bekas besar tersebut dipenuhi dengan isipadu  7 liter.

Aktiviti 3        : Dapatan hasil aktiviti kumpulan 3
                      i.        Guru mengarahkan kumpulan 3 menjalankan aktiviti untuk memenuhkan isipadu air ke dalam bekas yang berukuran 13 liter dengan menggunakan 2 bekas kecil berukuran 2 dan 3 liter.
                    ii.        Pelajar berbincang sesama sendiri bagaimana untuk menjalankan aktiviti ini tanpa membuang masa.
                   iii.        Pelajar kumpulan ini telah mengambil pendekatan dengan mengisi air ke dalam bekas berukuran 3 liter sebanyak 4 kali dan dituangkan ke dalam bekas besar yang berukuran 13 liter tersebut.
                   iv.        Pelajar mengetahui bekas tersebut telah dipenuhi isipadu air 12 liter. Oleh itu pelajar hanya perlu untuk mengisi air sebanyak 1 liter ke dalam bekas tersebut untuk menjadikannya 13 liter.
                    v.        Kumpulan ini telah mengisikan air ke dalam bekas yang berukuran 3 liter dan menuangkannya ke dalam bekas 2 liter. Justeru itu sipadu air yang tinggal di dalam bekas 3 liter ialah 1 liter. Maka air yang tinggal 1 liter tersebut di masukkan ke dalam bekas besar 13 liter yang telah dipenuhi dengan air  12 liter.
                   vi.        Pertambahan air sebanyak 1 liter menjadikan bekas besar tersebut dipenuhi dengan isipadu 13 liter.

Aktiviti 4        : Dapatan hasil aktiviti semua kumpulan
                      i.        Untuk aktiviti guru memberikan aktiviti yang lebih mencabar kepada setiap kumpulan. Guru mengarahkan setiap kumpulan menjalankan aktiviti untuk memenuhkan isipadu air ke dalam bekas yang berukuran 16 liter dengan menggunakan  bekas kecil berukuran 3 liter dari bekas air yang mengandungi 19 liter isipadu air.
                    ii.        Pelajar berbincang sesama sendiri bagaimana untuk menjalankan aktiviti ini tanpa membuang masa.
                   iii.        Pelajar setiap kumpulan telah mengambil pendekatan dengan mengisi air ke dalam bekas berukuran 3 liter sebanyak 5 kali dan dituangkan ke dalam bekas besar yang berukuran 16 liter tersebut.
                   iv.        Pelajar mengetahui bekas tersebut telah dipenuhi isipadu air 15 liter. Oleh itu pelajar hanya perlu untuk mengisi air sebanyak 1 liter ke dalam bekas tersebut untuk menjadikannya 16 liter.
                    v.        Semua kumpulan telah mengisikan air ke dalam bekas yang berukuran 3 liter. Justeru itu baki isipadu air yang tinggal di dalam bekas 19 liter itu ialah 1 liter. Maka air yang tinggal 1 liter di dalam bekas 19 liter tersebut di masukkan ke dalam bekas besar 16 liter yang telah dipenuhi dengan air  15 liter.
                   vi.        Pertambahan air sebanyak 1 liter menjadikan bekas besar tersebut dipenuhi dengan isipadu 16 liter.

Rumusan
Daripada aktiviti yang telah kami jalankan terhadap tiga kumpulan murid yang berbeza aras kognitif mereka, kami membuat kesimpulan bahawa murid akan berminat untuk mempelajari sesuatu itu apabila mereka dapat melakukan sesuatu aktiviti yang sesuai dengan kebolehan dan kemampuan mereka. Merka akan melakukan aktiviti tersebut dengan perasaan yang seronok dan guru dapat menerapkan sesuatu kemahiran matematik dengan cara berlajar sambil bermain. Bagi aktiviti yang disediakan untuk murid pintar cerdas pula ia akan dapat meransang mereka untuk menggunakan daya kognitif yang tinggi untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang diberi. Kami berpendapat, kami telah berjaya menyediakan satu aktiviti pembelanjaran yang berjaya memenuhi tiga kumpulan pelajar yang berbeza walaupun fokus projek kami ini lebih tertumpu kepada murid pintar cerdas. Kami dapat rasakan bahawa aktiviti yang kami jalankan ini telah memberi keadilan kepada semua murid dan objektif yang kami tetapkan untuk dicapai dalam projek kami ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Rujukan
Noriah Mohd Ishak, Rosadah Abd majid & Siti Fatimah Mohd Yassin (2009).  Permata pintar negara: pengalaman UKM. Selangor: Pusat PERMATA pintar Negara, UKM.
Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim (2001).  Pengurusan perkhidmatan personaliti murid. Selangor: Cerdik Publications Sdn. Bhd.
Rogers, K. (2001).  The relationship of grouping practices to the education of the gifted and talented learner: research based decision making. The National Research Center on the Gifted and Talented.
Salhah  Abdullah (2009).  Kecerdasan pelbagai: aplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Sen Fa, N (2005). Rahsia individu pintar cerdas dan masalah mereka pada September 5 2010 daripada http://www.freewebs.com/truesenfa/bab1.htm.
Intan Sapinas Binti Bahuri (2008). Tinjauan amalan pembelajaran koperatif di kalangan pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara Gerik, Perak pada September 5 2010 daripada http://eprints.utm.my/6039/1/FULL_THESIS.pdf.
Margaret DeLacy (1996).  Acceleration for gifted students: a background paper created for the Portland public school district talented and gifted advisory committee pada September 6 2010 daripada http://www.tagpdx.org/accelera.htm.















                               
                            
                                      
                                   


No comments:

Post a Comment