Welcome To My Blogs

Sunday 3 April 2011

Tugasan Individu

PELAJAR  PINTAR CERDAS DI PERINGKAT AWAL KANAK-KANAK 
( GIFTEDNESS IN EARLY CHILDHOOD )

PENGENALAN
Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat untuk memperkembangkan potensi individu pelajar secara menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu seluruh usaha dan langkah yang diambil dalam sistem pendidikan mestilah mengambil kira potensi dan keperluan setiap individu pelajar. Setiap individu pelajar yang normal semenjak dari usia bayi telah memiliki potensi dan bakat yang boleh dikembangkan dan dipertingkatkan. Dewasa kini mereka telah terdedah lebih awal dengan pelbagai sumber maklumat. Fenomena ini sedikit sebanyak boleh memberi impak yang besar dalam perkembangan dan pertumbuhan fizikal, kognitif, psikomotor dan emosi mereka, terutama di kalangan mereka yang dikenali sebagai pelajar pintar cerdas. Pelajar yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa serta melebihi kebolehan rakan sebaya dengannya lebih dikenali sebagai kanak-kanak pintar cerdas.
Pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan individu yang memiliki potensi yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan. Bagi mengembangkan potensi dan bakat mereka dengan lebih sistematik dan berkesan, suatu program pendidikan khusus amat diperlukan.

PERKEMBANGAN PELAJAR PINTAR CERDAS DI MALAYSIA

Golongan pelajar pintar cerdas di Malaysia mula diberi perhatian dalam sistem pendidikan dengan terlaksananya Sistem Kelas Ekspres pada tahun 1962. Dalam Sistem ini, kanak-kanak yang memiliki potensi dan memperolehi pencapaian yang mengatasi rakan-rakan sebaya telah diberi peluang untuk memendekkan tempoh persekolahan rendah mereka daripada 6 tahun kepada 5 tahun sahaja. Perlaksanaan sistem ini telah diberhentikan pada awal tahun 1970an.
Namun demikian pada awal tahun 1980an, satu Simposium Kebangsaan Mengenai Kanak-kanak Bergeliga telah diadakan. Ekoran daripada Simposium tersebut isu kanakkanak pintar cerdas ini kembali diperkatakan. Persatuan MENSA Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1983, bertujuan untuk mengenal pasti individu pintar cerdas. Pada tahun 1985, pihak Universiti Malaya pula telah mengorak langkah memulakan Program BAKA khusus untuk pelajar pintar cerdas. Manakala Persatuan Kanak-kanak Bergeliga Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1987. Menyedari tentang kepentingan untuk memberi perhatian terhadap program pendidikan khusus untuk pelajar pintar cerdas di negara ini, Seminar Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas telah diadakan pada tahun 1990, di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Hasil daripada seminar tersebut, didapati bahawa perancangan dan pelaksanaan program yang sistematik perlu diadakan bagi memenuhi keperluan pelajar yang pintar cerdas serta berbakat. Ekoran dengan itu, pada tahun 1996, satu bentuk penilaian bagi mengenal pasti pelajar pintar cerdas telah dilaksanakan, yang dikenali sebagai Ujian Penilaian Tahap Satu (PTS). Penilaian ini dilaksanakan ke atas murid-murid Tahun Tiga sekolah rendah. Pelajar yang berjaya memperolehi tahap maksimum dibenarkan meneruskan persekolahan ke Tahun 5, tanpa perlu mengikuti persekolahan Tahun 4. Walau bagaimanapun, penilaian ini hanya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sahaja.


CIRI-CIRI KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Siapakah kanak-kanak pintar cerdas? Pelbagai takrifan telah diberikan dalam menjelaskan siapa yang dikatakan kanak-kanak pintar cerdas. Secara umumnya, seorang kanak-kanak yang mempunyai kebolehan kognitif yang jauh lebih tinggi daripada kalangan rakan sebaya dikatakan sebagai seorang kanak-kanak pintar cerdas. Bagaimanapun, mempunyai keupayaan intelek yang luar biasa sama ada memiliki keupayaan intelek yang tinggi dalam satu atau lebih subjek akademik bukanlah satu-satunya ciri bagi seorang kanak-kanak pintar cerdas ini. Ada dalam kalangan kanak-kanak yang dikatakan pintar cerdas adalah kanak-kanak yang mempunyai kebolehan luar biasa dalam bidang sukan, muzik, lukisan atau seni persembahan berbanding dengan rakan sebaya mereka yang lain.
Stanford Binet (1916), adalah orang pertama menjalankan ujian pintar cerdas yang dikenali sebagai “The Stanford-Binet Test” telah memberikan definisi pintar cerdas sebagai merujuk kepada keupayaan individu memahami, membuat pertimbangan dan penaakulan dengan baik. Lewis Terman (1916), pula memberi definisi pintar cerdas sebagai seseorang yang berkebolehan untuk berfikir secara abstrak. Ini bermakna kanak-kanak pintar cerdas bukan sahaja kanak-kanak pintar dari aspek akademik tetapi juga kanak-kanak yang mempunyai kebolehan yang mengkagumkan dalam aspek kesenian dan kesukanan. Oleh itu, kanak-kanak yang mempunyai potensi dan tahap motivasi serta pencapaian yang tinggi dalam aspek intelek, kreativiti, artistik, kebolehan kepimpinan serta mempunyai bakat dalam bidang seni dan muzik juga boleh diketegorikan sebagai kanak-kanak pintar cerdas.
Walau bagaimanapun, ciri yang dipamerkan oleh seseorang kanak-kanak telah dijadikan sebagai asas oleh sesetengah pakar profesional dalam mengenal pasti kanak-kanak pintar. Proses mengenal pasti kanak-kanak pintar cerdas yang paling mudah ialah dengan hanya melakukan pemerhatian sahaja terhadap tingkah laku kanak-kanak itu. Proses ini bukan sahaja boleh dilakukan oleh seorang ahli akademik yang profesional malah ibu bapa pun mampu mengenal pasti ciri yang terdapat dalam diri anak mereka. Biasanya hasil permerhatian yang diperolehi adalah tepat atau lebih ketara dari kaedah pengenalpastian yang lain kerana ia dilakukan dalam suasana yang selesa bagi kanak-kanak tersebut tanpa banyak gangguan. Banyak ciri yang luar biasa yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini pada usia yang masih muda lagi. Walau bagaimanapun tidak semua ciri ini perlu dimiliki oleh seseorang kanak-kanak untuk dikatakan pintar cerdas. Seseorang kanak-kanak itu tetap dikatakan pintar cerdas walau pun hanya mempamerkan sebahagian dari ciri yang disenaraikan.
Dalam halaman ini ciri kanak-kanak pintar cerdas yang disenaraikan dibahagikan kepada tujuh domain adalah hasil dari ciri yand disarankan oleh pelbagai pandangan ahli psikologi seperti Gardner, Renzulli, Clark (Gargiulo 2006) dan Sousa (2003). Haruslah diingat bahawa tidak semua ciri tersebut perlu ada dalam diri seseorang kanak-kanak yang dikatakan pintar cerdas. Ciri ini dibahagikan kepada domain-domain:
A.kebolehan intelek yang umum
B. kebolehan intelek yang khusus
C. pemikiran kreatif
D. kepimpinan
E. kebolehan psikomotor
F. kesenian visual/persembahan
G. sosial emosi.



Kebolehan Intelek yang Umum 
Kanak-kanak dikatakan pintar cerdas, sekiranya mempamerkan ciri kebolehan intelek umum yang lebih tinggi atau luar biasa jika dibandingkan dengan rakan sebayanya. Berikut adalah beberapa ciri kebolehan intelek umum yang boleh didapati pada kanak-kanak tersebut :
1. sangat suka membaca bahan bacaan yang lebih tinggi dari tahap usianya.
2. mempunyai emosi yang stabil serta peramah dan mesra. 
3. mempunyai disiplin kendiri yang tinggi sehinggalah hanya sedikit sahaja kawalan dari luar
yang diperlukan.
4. seorang yang bijak kerana menyelesaikan masalah dengan pelbagai kaedah dan menjawab
soalan dengan cepat dan tangkas. 
5. sangat kreatif dalam menghasilkan idea baru, melihat hubungkait dan menjana inovasi. 
6. mempamerkan perasan ingin tahu yang tinggi serta bijak menerka tentang sesuatu objek,
situasi dan peristiwa. 
7. berkebolehan untuk melihat dan mengkagumi sesuatu perkara dengan lebih mendalam.
8. mendedahkan keaslian ekspresi secara lisan dan bertulis. 
9. mempamerkan kesediaan untuk menerima sesuatu yang kompleks yang diingati dalam sesuatu situasi yang bersesuaian. 
10. mempunyai tahap tenaga yang tinggi.

Kebolehan Intelek yang Khusus
Selain dari kebolehan intelek umum, ada juga kanak-kanak yang menunjukkan kebolehan intelek yang khusus terhadap sesuatu bidang. Kanak-kanak yang dikatakan mempunyai kebolehan intelek yang khusus ini didapati : 
1. menunjukkan ciri yang hampir sama dengan ciri keupayaan intelektual umum tetapi lebih
menumpu kepada satu atau beberapa bidang sahaja. 
2. memberikan tumpuan yang mendalam terhadap bidang yang sangat diminatinya. 
3. belajar dengan pantas, mudah dan tanpa memerlukan pengulangan dalam satu atau beberapa bidang. 
4. sangat suka belajar mata pelajaran tertentu sahaja berbanding mata pelajaran yang lain. 
5. menghabiskan tugasan projek yang diminatinya dalam tempoh masa yang lama tanpa dipaksa. 
6. berkebolehan menunjukkan perspektif yang luas dalam satu atau lebih bidang 
7. berkebolehan menilai kebolehan diri sendiri dalam bidang yang minatnya.
9. mempunyai kemahiran verbal yang sangat lancar serta dan sering menggunakan
perbendaharaan kata yang tinggi termasuk perkataan yang unik dan baru jika dibandingkan
dengan umur atau tahap akademik di sekolah.
10. memiliki kemahiran berfikir yang tinggi serta berkemampuan menyelesaikan masalah yang
sukar untuk ditafsirkan.

Pemikiran Kreatif
Satu lagi domain yang dapat membantu dalam mengenali kanak-kanak pintar cerdas ini adalah pemikiran kreatif. Kanak-kanak yang dikatakan mempunyai pemikiran kreatif adalah kanak-kanak yang didapati mempamerkan ciri seperti berikut :
1. sangat lancar dan yakin ketika menyatakan serta menjelaskan idea yang telah difikirkannya. 
2. berkebolehan membuat hubungan-kait antara dua idea  terpencil yang jarang difikirkan oleh
orang lain. 
3. mempunyai pola pemikiran yang luwes dan bersedia untuk meneka serta membuat hipotesis. 
4. berkebolehan meneka kewujudan sesuatu masalah dalam situasi tertentu dan bertindak secara spontan dan mengikut gerak hati dalam menyelesaikannya. 
5. dapat menerima wujudnya ketaksamaan dan ketidakpastian dalam sesuatu perkara serta sedar terhadap ketidakkonsistensian dan ketidaksinambungan. 
6. berkebolehan menimbang atau mendefinisikan semula elemen sesuatu masalah atau tugasan dengan baik. 
7. menunjukkan tumpuan yang mendalam ketika melakukan  sesuatu tugasan yang diberikan. 
8. dapat mengekalkan idea sendiri dalam sebarang perbincangan atau kolaborasi.
9. berkebolehan memberikan pelbagai penyelesaian atau respons terhadap sesuatu masalah. 
10. tidak berubah fikiran apabila mengekpreskan diri dan ada kalanya bersikap radikal

Kepimpinan 
Memiliki ciri kepimpinan turut dilihat sebagai salah satu domain yang boleh mengenalpasti seseorang kanak-kanak pintar cerdas. Seorang kanak-kanak dikatakan pintar cerdas dalam domain kepimpinan sekiranya menonjolkan ciri kepimpinan berikut;
1. berkebolehan merangsang dan membangkitkan semangat orang lain dalam sesuatu perkara. 
2. berkebolehan mengenal pasti kemahiran dan kebolehan yang dimiliki oleh orang lain. 
3. mudah berinteraksi dengan orang lain dan menunjukkan kemahiran sosial yang tinggi. 
4. berkebolehan mengenalpasti matlamat sesuatu perkara dan menyatakannya dengan jelas. 
5. berkebolehan menerangkan idea dengan jelas kepada pendengarnya. 
6. sangat empati terhadap perasaan orang lain seperti berkebolehan mendengar serta merasai
apa yang dirasai oleh seseorang yang menghadapi masalah.
7. berkebolehan memberi arahan dengan jelas dan berkesan terhadap orang lain. 
8. mengamalkan kepimpinan yang telus dan bertanggungjawab serta boleh mengkordinasi
tugasan dari beberapa orang individu. 
9. berkebolehan menjana perasaan positif (mood) sesuatu kumpulan dan sangat memahami
perasaan orang lain. 
10. dilihat sebagai orang yang boleh membuat keputusan  serta menyokong ahli kumpulan bila
perlu sahaja. 

Kebolehan Psikomotor 
Dalam domain psikomotor pula, kanak-kanak yang mempunyai tahap yang mengkagumkan dalam aktiviti fizikal adalah kanak-kanak yang melakukan perkara seperti berikut :
1. mampu mengikut rentak dan irama dengan mudah seperti menari.
2. sangat suka bersukan terutama sukan yang lasak.
3. sukakan permainan yang fizikal atau tarian yang lasak. 
4. mempunyai bentuk tubuh yang sesuai dengan aktiviti fizikal sama ada kesukanan atau tarian. 
5. sangat berkeyakinan, seimbang dan kordinasi dalam aktiviti kesukanan fizikal. 
6. sangat bijak mencipta atau mengubah sesuatu permainan atau tarian yang disertainya. 
7. sangat bertenaga apabila melakukan sesuatu aktiviti kesukanan.
8. mampu memahami aspek intelek dalam aktiviti psikomotor yang dilakukannya. 
9. menunjukkan ketahanan, stamina dan ketekunan yang tinggi dalam aktiviti fizikal. 
10. mempamerkan kemahiran atau kebolehan yang luar biasa dalam aktiviti fizikal berbanding
rakan sebayanya.

Kesenian Visual dan Persembahan 
1. mempunyai kebolehan menghayati irama sesuatu lagu dengan mudah.
2. sangat bagus dalam memahami kordinasi irama, nada dan melodi. 
3. berkebolehan membezakan muzik dengan bunyian yang lain.
4. memahami hubung-kait yang berkaitan dengan muzik. 
5. seronok melakukan aktiviti yang berkaitan dengan muzik. 
6. berkebolehan melukis pelbagai objek dengan mudah. 
7. memberikan tumpuan yang mendalam ketika menghasilkan sesuatu karya lukisannya.
8. mempunyai perancangan teliti dan baik dalam pembahagian ruang ketika menghasilkan
    sesuatu lukisan. 

Sosial-emosi
Sosial-emosi adalah salah satu domain yang penting  dalam melihat ciri kanak-kanak pintar
cerdas dan berbakat ini. Kanak-kanak yang mempunyai kecerdasan dalam sosial emosi adalah
kanak-kanak yang mempunyai perlakuan seperti berikut :
1. sangat menitikberatkan hal-hal keadilan serta mempunyai perasaan yang mendalam terhadap keadilan dan adakalanya mungkin akan menentang dengan tegas sesuatu yang dirasanya tidak adil.
2. berkeyakinan yang tinggi dan percaya kepada kemampuan diri sendiri.
3. lebih gemar berkawan dengan individu yang lebih tua dari usianya.
4. seseorang yang sangat mementingkan kesempurnaan.
5. sentiasa mengkritik diri sendiri dan orang lain sehinggakan mungkin melakukan tugasan
dengan terlalu berhati-hati sehingga lewat menyempurnakannya atau menangguhkan kerja.
6. persahabatannya berasaskan minat yang sama dikongsinya tetapi bukan kerana umur yang
sebaya dengannya.
7. mudah menyesuaikan diri dengan situasi yang baru dihadapinya.

PINTAR CERDAS DIPERINGKAT AWAL KANAK-KANAK
Pelajar pintar cerdas boleh dikesan diperingkat awal iaitu dari peringkat  lagi sehinggalah ia berumur dua tahun. Menurut Caterina Murphy (2006), kanak-kanak pada peringkat awal menunjukkan potensi dari segi kreativiti dan dapat berfikir secara kritis. Menurut Dr Inderbir Kaur Sandhu pula, kanak-kanak pada peringkat umur antara 0 hingga 2 tahun boleh dikategorikan pintar cerdas jika ia memiliki beberapa ciri seperti berikut :
1)    Peka terhadap perubahan yang berlaku di sekelilingnya contohnya bunyi telefon dan pergerakan benda di sekelilingnya. Ia juga mudah mengenali orang-orang yang selalu berada di sekelilingnya selain daripada ibu bapanya sendiri.
2)    Menunjukkan minat yang mendalam terhadap buku. Suka membelek helaian buku walaupun belum boleh membaca.
3)    Minat terhadap alat teknologi seperti komputer. Suka memegang dan menekan papan kekunci komputer untuk melihat fungsi pada skrin.
4)    Suka pada beberapa rancangan yang disiarkan di telivisyen
5)    Boleh menyebut beberapa patah perkataan dan arahan sebelum berumur 18 bulan.
6)    Menunjukkan reaksi pada peringkat bayi lagi iaitu suka tersenyum pada orang di sekelilingnya.
7)    Menunjukkan perlakuan yang aktif dan kurang tidur
8)    Boleh memahami arahan ringkas pada umur 18 bulan
9)    Boleh menyebut beberapa perkataan yang mudah semasa berumur 14 bulan.
10) Suka bermain dengan objek yang berbagai bentuk.

PERANAN GURU DALAM MELAHIRKAN PELAJAR PINTAR CERDAS
Guru perlu memberi latihan yang sesuai dengan minat dan kecenderungan pelajar pintar cerdas dan bukannya melipatgandakan kuantiti latihan kepada pelajar biasa. Perbezaan kualiti antara pelajar pintar cerdas dengan pelajar lain boleh dilihat pada tahap pemikiran yang berbeza, cara mereka menyelesaikan masalah, jenis buku yang dibaca, jenis pengetahuan yang dipelajari, sikap, tingkah laku dan keputusan mereka. Guru akan mendapati tahap yang boleh dicapai oleh mereka sangat susah dicapai oleh pelajar yang lain. Justeru itu, menurut Norman J.Mirman ( 2003) kanak-kanak pintar cerdas memerlukan seorang guru yang mempunyai pengetahuan yang tinggi, seorang yang mengambil berat dan peka kepada keperluan mereka

Apabila pelajar pintar cerdas membaca dan belajar dengan banyak, mereka memahami banyak konsep (skema), dengan kata lain mereka banyak berpengetahuan. Kita mempelajari sesuatu dengan mengaitkan dengan apa yang telah kita sedia tahu. Semua konsep ini bergabung jalin dan membantu kita memahami konsep yang  baru. kerangka minda atau pengetahuan sedia ada mereka akan berkembang. Dengan kata lain semakin berpengetahuan seseorang, semakin senang dia memperoleh pengetahuan baru. Sebab dia senang mengaitkan maklumat baru dengan pengetahuan-pengetahuan sedia ada.

Keadaan perubahan kuantiti ini berlaku berterusan sehingga pada takat tertentu, skemata mereka mencapai takat kemajuan yang tertentu sehingga mereka boleh memahami konsep (skema) baru yang tidak mungkin difahami oleh rakan sebaya. Pada masa ini mereka berfikir pada landasan yang berbeza dengan orang lain dalam bidang tertentu (mengikut kelebihan dan minat individu tersebut). Jenis tugasan dan pengetahuan yang berbeza perlu diberikan kepada mereka pada tahap ini supaya sesuai dengan keperluan mereka. Guru perlu membantunya mencapai perubahan kualiti ini.



RUJUKAN

Margaret Sutherland.(2005).Gifted and Talented In The Early Years. Paul Chapman Publishing.London
Sidney M.Moon.(2004).Sosial/Emotional Issues,Underachievement, And Conseling Of Gifted And Talented Students.Corwin Press.Thousand Oaks, California.
Susan Winebrenner.(2001).Teaching Gifted Kids In The regular Classroom.Free Spirit Publishing Inc, Minneapolis.
Joan Franklin Smutny.(2003).Program For Gifted Students. A sage Publication Company.Thousands Oaks, California.
Leah Welte.(1996).Challenging Gifted Children. U.S.A
Shirley Taylor.(2001).Gifted And Talented Children.Jessica Kingsley Publishers, London.
Christine Macintyre.(2008). Gifted And Talented Children 4 – 11.Routledge Taylor & Francis Group, London And New York.
Bee. H. L. . (2000). The developing child. 9th Edition. Allyn & Bacon : New York.
Sousa, D. A.(2003). How The Gifted Brain  learns. Corwin Press Inc. : USA



RUJUKAN






No comments:

Post a Comment